Sunday, 25 March 2012
Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Abdullah Zaik bin Abdul Rahman akan tampil sebagai salah seorang pembentang kertas kerja dalam Kongres Masa Depan Islam (KMDI) Siri 1 yang membawa tema “Kesatuan Menjamin Masa Depan Ummah”. Program ini akan berlangsung pada 25 Mac (Ahad) akan datang di Hotel de Palma, Shah Alam, Selangor bermula pukul 8.00 pagi.
Kongres ilmiah ini dianjurkan secara bersama oleh 3 buah NGO Islam iaitu Pertubuhan Profesional Muslim dan Ukhuwah Ummah (ProMuslim), Pertubuhan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) dan Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT). Penganjuran KMDI bertujuan untuk menyeru dan menyedarkan umat Islam di Malaysia untuk bersatupadu demi masa depan, kembali kepada Allah dan ajaran agama yang sejati.
Penyatuan yang bakal dicapai dan dipersetujui (dalam bentuk konsensus dan deklarasi) melalui KMDI ini menggambarkan aspirasi dan pengharapan semasa keseluruhan masyarakat Islam di Malaysia terhadap kepimpinan Islam selaku ‘organisasi pelaksana’ yang bertanggungjawab menerajui kerajaan-kerajan negeri dan kerajaan persekutuan Malaysia.
KMDI dijangka akan dirasmikan oleh Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Y.A.D. Dato’ Setia Haji Mohamad Adzib B Mohd Isa. Selain Ustaz Abdullah Zaik, turut membentangkan kertas kerja ialah Ustaz Ismail Mina (Presiden MUAFAKAT) dan Dr. Firdaus Hanapiah (Naib Presiden ProMuslim). Kongres ini juga akan diserikan dengan forum bertajuk Kesatuan Menjamin Masa Depan Ummah.
Diharapkan melalui program yang dianjurkan ini akan dapat memberi manfaat kepada setiap individu muslim. InsyaAllah.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment